SAVE2025: Sarawak, Korea perkukuh kerjasama inovasi tenaga hijau

Posted on 12 Aug 2025
Source of News: TVS Sarawak
News Link : https://www.tvsarawak.my/2025/08/12/save2025-sarawak-korea-perkukuh-kerjasama-inovasi-tenaga-hijau/

News Date : 12 August 2025


 

SAVE2025

 
SAVE2025 turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara 3 syarikat Malaysia dan 5 syarikat Korea yang bertujuan untuk menyokong pemindahan ilmu, pembangunan pembekal, pembangunan kapasiti, dan penyelarasan dasar demi masa depan yang lebih hijau. Foto TVS
 

KUCHING, 12 Ogos: Sarawak terbuka untuk kerjasama strategik secara global dengan menyambut baik setiap peluang dalam meneroka idea, teknologi dan inovasi baharu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan kini mengintai peluang untuk mempelajari dan meneroka pendekatan serta inovasi baharu yang akan dikongsi oleh pihak berkepentingan Korea khususnya industri hidrogen, grid pintar (smart grids), sistem tenaga digital serta pengkomersilan teknologi bersih.

“Selaras dengan PCDS 2030, terdapat peluang berpotensi untuk kerjasama strategik dalam teknologi boleh diperbaharui bersama pihak berkepentingan Korea yang akan memberikan nilai dalam pelbagai bentuk pemindahan teknologi dalam sektor termaju seperti sel bahan api hidrogen, grid automasi dan penangkapan karbon serta pemudahcara pelaburan yang membuka pintu kepada kolaborasi industri dan pembangunan rantaian bekalan tempatan.

“Selain itu, pembangunan kapasiti melalui penyelidikan dan pembangunan bersama, latihan kemahiran, dan pertukaran profesional projek perintis serta demonstrasi untuk mengurangkan risiko inovasi dan menyediakan pelaksanaan skala penuh,” kata beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni semasa perasmian Sustainable And Valuable Energy Conference (SAVE2025) di sini, hari ini.

Jelas Abang Johari, penganjuran persidangan seperti SAVE2025 ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Sarawak terhadap tenaga bersih dan industri hijau, malah menyediakan platform strategik dan kolaboratif untuk perbincangan lebih mendalam dalam pelbagai bidang yang akan memberi manfaat kepada Sarawak dan negara secara keseluruhan.

“Melalui SAVE2025 ini, Sarawak memperkukuh pelaksanaan dan penyelarasan dasar utama Sarawak seperti Sarawak Energy Transition Roadmap (SETR), PCDS 2030, dan Hydrogen Roadmap, melalui penghubung dengan trend global, peluang pembiayaan dan amalan terbaik antarabangsa.

“Selain itu, dapat mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab serantau pelaburan tenaga bersih dan pembangunan industri hijau, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan mempelbagaikan ekonomi neger, ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga menumpukan usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) terutama dalam bidang hidrogen, tenaga boleh diperbaharui dan pasaran karbon, seterusnya mempertingkatkan profil Sarawak sebagai destinasi pelaburan lestari.

Dalam aspek pemindahan teknologi dan pelokalan, kerjasama ini akan mempercepatkan penggunaan teknologi maju yang sesuai dengan konteks sosio-ekonomi tempatan.

“Pembangunan modal insan menjadi keutamaan dengan membuka ruang kepada penyelidik, jurutera dan pelajar tempatan untuk belajar, berinteraksi, serta membina kerjaya dalam bidang tenaga bersih.

“Fokus khas turut diberikan kepada pembangunan inklusif luar bandar melalui inisiatif rangkaian mikro pintar dan elektrifikasi luar bandar sebagai usaha merapatkan jurang tenaga antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak,” jelas beliau.- TVS

 


@ 2025 Copyright
Ministry of Energy and Environmental Sustainability Sarawak (MEESty)
Last Updated On 30 Aug 2025

OPERATING HOURS:

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement