KUCHING, 12 Ogos: Kerajaan Sarawak optimis memperkukuhkan kapasiti tenaga bersih negeri menerusi pelan strategik yang merangkumi pelbagai inisiatif inovatif, termasuk pembangunan projek solar terapung di empangan utama dan penggunaan biojisim sebagai alternatif kepada arang batu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, usaha peralihan daripada tenaga berasaskan arang batu kepada biojisim kini masih di peringkat percubaan.
“Percubaan pertama kita di Loji Tenaga Sejingkat yang dahulunya 100 peratus tenaga arang. Kini ianya sudah bertukar menjadi 50 peratus arang batu dan 50 peratus bateri.
“Selain itu, kita akan kurangkan penggunaan arang batu dengan menggunakan biojisim daripada pokok, palet kayu, palet buluh dan palet rumput gajah.
“Sekiranya berjaya kita akan menggunakan teknologi ini di loji kuasa lain seperti di Balingian dan Mukah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Persidangan Sustainable and Valuable Energy (SAVE) 2025 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, Sarawak sedang mengurangkan penggunaan arang batu dengan menggantikan bahan bakar itu kepada biojisim seperti pokok, palet kayu, palet buluh dan rumput gajah.
Setakat ini menurutnya Sarawak memiliki empat empangan utama iaitu Batang Air, Murum, Bakun dan Baleh yang boleh dijadikan tapak untuk membangunkan projek solar terapung.
“Di atas keempat-empat empangan ini, kita bina projek solar terapung yang boleh menghasilkan dua gigawatt tenaga solar dan kemudian kita akan kembangkan ke empangan melata di sungai-sungai kecil di Sarawak.
“Kita ada 12 sungai yang berpotensi untuk dijadikan empangan dan pada tahun 2030 kita akan menjana 2 gigawatt lagi daripada sungai tersebut,” katanya.
Selain projek solar terapung, Sarawak juga akan menggunakan kitaran gabungan gas (Combined Gas Cycle) menggunakan LNG dan hidrogen di Miri dan Bintulu yang boleh menghasilkan 1.5 gigawatt tenaga yang menjadikan jumlahnya 5.5 gigawatt.
“Sekarang kita ada 5.7 gigawatt kemudian tambah lagi 5.5 gigawatt menjadikannya 10 atau 11 gigawatt menjelang 2030 kita akan ada 10 gigawatt tenaga dan 15 gigawatt pada tahun 2050,” jelasnya.
Ujarnya, Sarawak kini menjadi peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui dengan lebih daripada 70 peratus elektrik dijana daripada tenaga hidro bersih di samping menawarkan salah satu grid elektrik karbon terendah di Asia Tenggara.- TVS