KUCHING, 12 Ogos: Sarawak sedang giat melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan bagi melahirkan sekurang-kurangnya 10,000 pakar dan juruteknologi menjelang tahun 2030, selaras dengan keperluan sektor tenaga dan teknologi hijau negeri.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, sasaran itu boleh dicapai jika lebih ramai lepasan SPM menyertai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya percaya kita memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 juruteknologi menjelang 2030, dan jumlah ini boleh mencecah sehingga 80,000 selepas itu. Kita hasilkan kira-kira 3,500 hingga 4,000 lepasan SPM setiap tahun. Jika separuh daripada mereka mengikuti kursus TVET, kita sudah berada di landasan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan Persidangan Sustainable and Valuable Energy (SAVE) 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, pengukuhan ekonomi negeri menerusi pelbagai inisiatif baharu serta rancangan menawarkan pendidikan tinggi percuma mulai tahun hadapan di lima universiti milik kerajaan negeri akan memperkukuh lagi penglibatan anak muda dalam bidang teknikal, khususnya TVET.
Menurut Dr Hazland, penambahan juruteknologi tempatan amat penting bagi menyokong pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Sarawak (SETR) dan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kerajaan negeri turut menetapkan syarat kepada pelabur dalam sektor hidrogen seperti projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu agar menyediakan latihan dalaman kepada tenaga kerja tempatan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kursus Juruteknik Hidrogen telah diwujudkan di i-CATS dengan kerjasama Universiti Fudan, selaku pembekal sistem ART Sarawak, bagi melatih pelajar tempatan dalam bidang berkaitan.
“Lebih banyak kursus teknikal akan diperkenalkan di Sarawak untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat,” jelasnya. -TVS