Peralihan tenaga hijau perlukan sinergi menyeluruh

Posted on 08 Aug 2025
Source of News: TVS Sarawak
News Link : https://www.tvsarawak.my/2025/08/07/peralihan-tenaga-hijau-perlukan-sinergi-menyeluruh/?fbclid=IwQ0xDSwMBSJ9jbGNrAwFIhmV4dG4DYWVtAjExAAEeJWWcw4Q3AIjOaezgMbbFCeyIgy0JrSJxoEpNuRX1cZO4Bqa5s3WwrPfCelo_aem_OYa4NiKj1tK7-3Om6nwN4w&sfnsn=wa

News Date : 8 August 2025
 

MALAYSIA kini melangkah ke era baharu peralihan tenaga dengan tumpuan kepada penyelesaian karbon rendah dan sumber boleh diperbaharui yang mampu memperkukuh keterjaminan tenaga, kelestarian alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi.

Dalam usaha membentuk masa depan lebih lestari dan berdaya saing, negara berada pada fasa penting untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau termasuk teknologi penangkapan karbon (CCUS), ammonia dan hidrogen hijau.

Komitmen ini tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, penggubal dasar, industri, institusi akademik dan belia.

Bagi merealisasikan agenda peralihan tenaga mampan ini, Sarawak muncul sebagai antara pemangkin utama tenaga bersih negara melalui pelbagai pendekatan strategik yang sedang digerakkan yang bukan sekadar untuk menyesuaikan diri dengan trend global tetapi juga untuk muncul sebagai peneraju serantau.

 

Amran Ahmad, Pengerusi Technip Energies Malaysia

Amran Ahmad, Pengerusi Technip Energies Malaysia

SARAWAK SEBAGAI PENERAJU PERALIHAN TENAGA

Technip Energies, sebuah syarikat teknologi kejuruteraan dan pembinaan global yang beroperasi di Malaysia sejak 1982 melihat potensi besar Sarawak sebagai hab tenaga hijau.

Menurut Pengerusi Technip Energies Malaysia, Amran Ahmad, pengalaman syarikat dalam melaksanakan projek berskala besar di peringkat antarabangsa boleh dimanfaatkan bagi mempercepatkan peralihan tenaga di negeri ini.

“Kami merupakan syarikat global dan telah banyak menyumbang kepada industri antarabangsa. Contohnya, dalam aspek CCUS (penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon), kami kini melaksanakan satu projek di UK iaitu tapak T-sifar bersih (net zero T-site) iaitu sebuah loji janakuasa yang membekalkan tenaga kepada sejuta kediaman.

“Pada masa yang sama, kami menangkap kira-kira dua juta tan karbon dioksida (CO₂) setahun. Berdasarkan pengalaman global ini, kami ingin membawanya ke Sarawak yang berhasrat menjadi hab CO₂ di rantau ini,” katanya.

Di benua Asia, Technip juga terlibat dalam projek mega bersama syarikat AM Green di India yang menghasilkan 640 megawatt hidrogen dan 1,500 tan ammonia hijau setiap hari.

Amran menjelaskan, keupayaan Sarawak dalam menjana tenaga hidro menjadikan wilayah ini sangat sesuai untuk menghasilkan produk tenaga hijau berasaskan molekul seperti hidrogen dan ammonia.

“Sarawak mempunyai sumber hidro yang melimpah dan sesuai untuk teknologi seperti ini. Kelebihannya terletak pada ketersediaan sumber semula jadi untuk menjana tenaga hijau daripada hidro kepada hidrogen seterusnya ammonia. Ini menjadikan Sarawak lokasi ideal untuk pelaksanaan teknologi bersih,” ujarnya.

 

Algae

Sebahagian alga yang sedang diproses bagi pengeluaran bahan api mampan (SAF) di Taman Perindustrian Demak, Kuching. Foto Luqman Muhammad (TVS)

TEKNOLOGI UNTUK CCUS DAN SAF

Bagi menyokong pengurangan pelepasan karbon dalam industri, Technip menawarkan teknologi penangkapan karbon CANSOF iaitu sistem berasaskan amina yang menangkap CO₂ selepas pembakaran serta sistem CANOPY yang boleh dibangunkan dalam tempoh 24 bulan sahaja.

Sementara itu, bagi sektor penerbangan pula, Technip memperkenalkan teknologi Hummingbird yang menukarkan etanol kepada Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Malaysia khususnya Sarawak mempunyai banyak sumber biojisim untuk penghasilan bioetanol.

Jelas Amran, jika Malaysia mahu mempercepatkan pelaksanaan teknologi penangkapan karbon, negara perlu memastikan harganya kompetitif.

“SAF boleh menyumbang sehingga 65 peratus pengurangan karbon dalam sektor penerbangan menjelang 2050. Teknologi ini penting jika kita serius mahu menyahkarbonkan industri penerbangan,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun teknologi dan sumber tersedia, kejayaan sebenar bergantung kepada sinergi dan dasar yang menyokong:

“Tiada satu pihak boleh bergerak sendiri. Kolaborasi antara pembuat dasar, pemain industri dan pemacu ekosistem sangat penting. Kita perlukan polisi yang jelas, insentif yang kompetitif dan pelaksanaan yang pantas,” katanya.

 

Abdul Hadi Ishak

Abdul Hadi Ishak, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Transmisi Toshiba dan Sistem Pengedaran Asia

PEMBANGUNAN MODAL INSAN: TAMBAH BAIK LATIHAN INDUSTRI

Sementara itu, Abdul Hadi Ishak, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Transmisi Toshiba dan Sistem Pengedaran Asia, ketika sesi dialog Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) di Sarawak menekankan kepentingan pembangunan bakat tempatan bagi menyokong teknologi masa depan.

“Di Malaysia, latihan industri biasanya hanya tiga hingga empat bulan. Ini terlalu singkat. Kami dapati ramai pelajar kembali ke universiti tanpa kembali semula kepada industri selepas tamat pengajian.

“Kami cuba menyerap mereka ke dalam syarikat, tetapi tempoh singkat latihan itu tidak mencukupi. Sebagai contoh, dalam bidang kejuruteraan tempoh ini terlalu terhad,” ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya tempoh latihan industri dipanjangkan sehingga lapan bulan, disusun secara berperingkat (daripada tugasan A ke B, B ke C) agar pelajar dapat memahami keseluruhan operasi dan teknologi industri tenaga.

“Kami mahu mereka bukan sekadar menjalani latihan tetapi menjadi sebahagian daripada pelan pertumbuhan tenaga kerja masa depan. Oleh itu, perlu ada kerjasama lebih erat antara industri, kerajaan dan universiti,” jelasnya.

Antara cadangan lain yang diketengahkan ialah penubuhan kampus inovasi melalui kolaborasi tiga pihak iaitu pemain industri, kerajaan dan institusi akademik yang memberi fokus kepada inovasi tenaga negara.

“Saya percaya pemain industri bersedia menyokong inisiatif kerajaan untuk mengasah bakat muda tempatan. Contohnya, Toshiba boleh menyumbangkan teknologi penangkapan karbon, manakala syarikat lain mungkin boleh menyumbang dari aspek hidrogen, sistem tenaga elektrik dan sebagainya.

“Semua teknologi ini boleh dihimpunkan dalam satu kampus. Dengan cara ini, pelajar akan memahami aplikasi sebenar teknologi masa hadapan yang kini semakin mendapat permintaan,” kata Abdul Hadi.

Inisiatif ini akan memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknologi terkini dan permintaan kemahiran secara global seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan.

 

Prof. Vincent Lee Chieng Chen

Prof. Vincent Lee Chieng Chen, Pro-Naib Canselor interim merangkap Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin University Malaysia

Sementara itu, Prof. Vincent Lee Chieng Chen, Pro-Naib Canselor interim merangkap Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin University Malaysia pula mencadangkan penubuhan Living Lab atau Makmal Hidup di kampus universiti khususnya dalam bidang tenaga seperti hidrogen.

“Biasanya pelajar hanya habiskan sekitar 12 jam seminggu untuk pembelajaran formal. Kita masih ada baki 28 jam daripada waktu kerja mingguan yang boleh dimanfaatkan.

“Dengan adanya jurutera industri dan wakil kerajaan secara ‘in-residence’ di kampus, pelajar boleh memanfaatkan masa ini walaupun hanya 14 jam seminggu untuk berada dalam makmal hidup tersebut,” ujarnya.

Beliau mencadangkan agar Sarawak mempertimbangkan penubuhan makmal hidup Sarawak bagi penerokaan hidrogen sebagai ruang latihan praktikal jangka panjang yang setara dengan latihan industri.

“Dalam tempoh tiga tahun, jumlah jam yang diluangkan oleh pelajar dalam living lab ini menyamai lebih setahun latihan industri. Mereka akan benar-benar mahir dalam teknologi penerokaan yang relevan dengan kehendak pasaran.

“Sepanjang penglibatan dalam makmal hidup, pelajar juga boleh mendapat kelayakan atau pensijilan sekiranya dilengkapi dengan sistem pengiktirafan. Contohnya, akreditasi daripada syarikat besar teknologi hidrogen yang memberi pensijilan untuk aplikasi kenderaan,” jelasnya.

 

Ts. Nizmar Mohd Nasar

Ts. Nizmar Mohd Nasar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii

DASAR DAN PELAN TINDAKAN NEGARA

Seiring dengan usaha membangunkan tenaga hijau negara, Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii) memainkan peranan penting dalam menyelaraskan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dengan agenda tenaga hijau negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Nizmar Mohd Nasar menjelaskan MITI telah meletakkan Sarawak sebagai peneraju ekonomi hidrogen negara dalam NIMP 2030.

“Apabila MARii mewujudkan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) di bawah MITI, kami gabungkan dasar automotif nasional, pelan induk perindustrian baharu, dan mobiliti karbon rendah untuk pembangunan dasar kenderaan elektrik (EV).

“Namun apabila menyentuh tentang NIMP 2030 dalam sektor hidrogen, kita sedang menelusuri piawaian dan pelan hala tuju yang berkaitan termasuk di bawah MOSTI serta pelan hala tuju ekonomi hidrogen Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya, konsep EV turut menyumbang kepada pembangunan grid pintar dan strategi diatur untuk membolehkan Semenanjung Malaysia memacu pembangunan EV manakala ekonomi hidrogen difokuskan di Sarawak yang meliputi rantaian dari peringkat huluan (upstream) hingga hiliran (downstream).

“Peranan kami lebih tertumpu kepada pendekatan mobiliti di peringkat hiliran menerusi NXEV (Next Generation Vehicle) untuk FCEV (Fuel Cell Electric Vehicle).

“Baru-baru ini, anda mungkin mendengar tentang kelulusan permit import (AP) bagi 1,000 kenderaan hidrogen ke Sarawak iaitu satu langkah khas untuk merancakkan industri dan memberi sokongan menyeluruh,” katanya.

Di bawah NAP, terdapat tujuh pelan hala tuju dan beberapa pelan tindakan (blueprint) sedang dirangka.

MARii turut merancang mengadakan bengkel bersama pelbagai pihak untuk memasukkan elemen hidrogen dalam rangka NXEV bermula daripada pengeluaran, bekalan, pengagihan sehinggalah ke penggunaan.

Peralihan tenaga hijau bukan sekadar pilihan, tetapi keperluan mendesak bagi memastikan kelangsungan alam dan kemakmuran generasi akan datang.

Melalui kolaborasi erat, inovasi berterusan, dan pembangunan modal insan yang berdaya saing, Malaysia mampu menjadi pemacu global dalam revolusi tenaga bersih.-TVS



 


@ 2025 Copyright
Ministry of Energy and Environmental Sustainability Sarawak (MEESty)
Last Updated On 07 Nov 2025

OPERATING HOURS:

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement